8 Disember - 18 Disember 1941 Pendudukan_Jepun_di_Tanah_Melayu,_Borneo_Utara_dan_Sarawak

Jepun mendarat di Pantai Padang Pak Amat sejurus selepas tengah malam 8 Disember 1941, dan mencetuskan pertempuran hebat antara tentera India British dan tentera Jepun, hanya sejam sebelum berlakunya serangan Pearl Harbor.[1] Pertempuran itu merupakan detik rasmi permulaan Perang Pasifik serta merupakan permulaan sejarah pendaratan Jepun di Tanah Melayu. Pihak Jepun mengalami jumlah korban yang tinggi tetapi gelombang demi gelombang penyerang menyerbu ke pantai sehingga pihak British terpaksa berundur. Dari situ, mereka bergerak dan menawan lapangan terbang Kota Bharu. Pada masa yang sama, pihak Jepun menyerang Singapura, Hong Kong dan Pelabuhan Pearl ("Pearl Harbor") melalui udara.

Pihak Jepun berjaya menawan Lapangan Terbang Sungai Petani, Butterworth dan Alor Star pada 9 Disember 1941. Pada 10 Disember 1941, kapal tempur HMS Prince of Wales dan HMS Repulse bergerak di persisiran timur Tanah Melayu menuju ke arah tempat pendaratan Jepun yang dilaporkan di Kuantan. Kekurangan perlindungan udara dua-dua kapal ini memudahkan pesawat Jepun menyerang secara bergelombang sehingga berjaya menenggelamkan kedua-dua buah kapal tersebut lalu menghalang kemaraanTentera Laut British dalam masa yang singkat.

Tentera Jepun yang mendarat di Kota Bharu berpecah kepada dua bahagian. Salah satu bergerak ke pantai timur menuju ke Kuantan, dan satu lagi ke selatan menujui Sungai Perak. Pada 11 Disember 1941, pihak Jepun mulai mengebom Pulau Pinang.

Jitra jatuh ke dalam tangan Jepun pada 12 Disember 1941, dan kemudiannya Alor Star pada hari yang sama. Tentera British terpaksa berundur ke selatan. Pada 16 Disember 1941, pihak British meninggalkan Pulau Pinang kepada pihak Jepun yang mendudukinya pada hari yang sama.